IMG_3721resized

Oleh: Mohd Hilmi bin Ramli

Pengerusi Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM) & pelajar pascasarjana Pusat Pengajian Tinggi Islām, Sains dan Peradaban (CASIS), UTM-KL.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), dikenali sebagai PPPM (PT) telah dilancarkan pada 7 April 2015, ini bermakna sudah dua bulan sejak ia dilancarkan. Namun, kelihatan agak perlahan perbahasan dan wacana diadakan untuk menyambut Pelan tersebut terutama bagi pihak universiti.

PPPM (PT) empunyai 10 asas Lonjakan. Empat lonjakan yang pertama memfokuskan keberhasilan bagi pihak berkepentingan dalam sistem pendidikan, termasuk pelajar dalam laluan akademik dan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), komuniti akademik, serta rakyat Malaysia yang terlibat dalam pembelajaran sepanjang hayat. Enam lonjakan yang lain pula memberikan tumpuan pada ekosistem pendidikan tinggi, yang merangkumi komponen penting seperti pendanaan, tadbir urus, inovasi, pengantarabangsaan, pembelajaran dalam talian, dan kaedah penyampaian.

Istilah ‘lonjakan’ dalam bahasa Melayu menurut Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat ialah ‘1. perbuatan melonjak; 2. dorongan atau desakan yg kuat untuk mencapai (mendapatkan sesuatu)’. Apabila istilah ‘lonjakan’ digunakan dalam pelan pembangunan ini, ia mencerminkan satu sikap yang bersungguh-sungguh dan penuh dengan keazaman untuk mencapai ke tahap yang lebih baik dalam pendidikan tinggi di negara ini, berbekalkan asas dan tapak yang kuat dan tujuan tempat yang mahu dilonjak yang yang jelas. Perbuatan melonjak biasanya tidak berlaku dengan setapak dua perbuatan sahaja.

Namun, jika asas atau tapak pijakannya (point of departure) rapuh, konsepsi sesuatu tujuan dan matlamat juga kabur, kemungkinan besar perbuatan melonjak atau ‘lonjakan’ itu akan bertukar maknanya kepada ‘terkinja-kinja’ atau ‘terloncat-loncat’ seperti yang dimaksudkan dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, maka ‘lonjakan’ yang ingin dicapai itu beralih kepada perbuatan yang mengaibkan dan akhirnya tujuan pelaksanaan pelan pembangunan yang dirancangkan tidak mencapai matlamatnya.

Asas kepada 10 lonjakan dalam PPPM (PT) mestilah kepada konsep dan tujuan penubuhan hakiki sesebuah universiti itu. Hari ini ramai yang menyedari dan menyuarakan kehampaan mengenai universiti kehilangan ruhnya. Kenyataan sebegini timbul kerana orientasi dan kegiatan dalam universiti yang semakin dibebani dengan tuntutan tidak hakiki seperti keghairahan palsu mendapat pengiktirafan dunia dalam penerbitan, aspek birokrasi dan pentadbiran melulu yang menindas kebijaksanaan manusiawi dalam menentukan keputusan sehinggakan ada peraturan yang sempit mengagalkan bakat, akhlak dan kewibawaan ilmiah seseorang sarjana dan pelajar untuk menyertai universiti, termasuk persoalan akar akan kehilangan maratib dan pengiktirafan yang sewajarnya kepada sarjana, pembinaan akhlak dan pembelajaran fardu ayn yang dipinggirkan. Ini dapat disimpulkan universiti telah menjejaki langkah dan tujuan institusi korporat yang mementingkan prestij, kebolehanan mendatangkan keuntungan material dan keterikatan melulu dengan peraturan dan birokrasi.

Dahulu timbul isu pengkorporatan universiti, namun ia berpunca daripada cadangan kenaikan yuran pengajian universiti sahaja. Namun pengkorporatan universiti yang berlaku pada hari ini semakin dahsyat dan buas apabila ruh universiti yang sepatutnya bertanggungjawab memupuk dan menanam ilmu, adab dan akhlak telah ditindas oleh nafsu korporat yang serakah mengejar nama prestij, keuntungan material dan keterikatan melulu peraturan yang palsu. Nafsu serakah pengkorporatan universiti sudah bermaharajelala ke seluruh jantung pendidikan tinggi sehinggakan universiti yang asalnya ditubuhkan atas mandat dan amanah PengIslaman ilmu juga diseludupi oleh falsafah pengkorporatan ilmu. Kesannya dapat dilihat bukan sahaja dari segi hilang tujuan asal penubuhannya, bahkan lebih hampa apabila sarjana wibawa dinafikan sumbangannya akan tetapi diangkat pula sarjana palsu yang ibarat ‘tikus membaiki labu’, khazanah ilmu berserta gagasan agung sarjana wibawa disembunyikan, akan tetapi karya dan idea runcitan dibesar-besarkan.

Pengkorporatan universiti yang berlaku pada hari ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar iaitu sebab-akibat sekularisasi sebagai sebuah rencana falsafah seperti yang diungkap oleh Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam karya agung beliau Islām and Secularism. Sekularisasi adalah suatu proses dan rencana falsafah yang aktif dan hidup dalam menindas dan mencabut unsur ruh dari unsur jasadi dan alam, berbeza dengan konsep sekularisme yang tertutup dan menjadi ideologi. Oleh kerana sifat sekularisasi yang aktif dan buas itu, makanya masharakat terpelajar mesti faham dan bertindak wajar mengekang sifat buasnya.

Dalam perbahasan Akta Syarikat dan undang-undang komersial, ada satu istilah yang sinonim dengan sebuah institusi korporat iaitu legal person. Kamus Dewan Bahasa masih tidak memberikan takrifan yang tepat mengenai istilah ini, apa yang ada ialah takrifan literal iaitu ‘orang di sisi undang-undang’. Tidak ada istilah dalam perbendaharaan bahasa Melayu ada benarnya kerana istilah legal person dan konsepnya tidak pernah wujud dari rahim pandangan alam Islām masharakat Melayu amnya akan tetapi istilah dan konsep itu muncul dan cuba disebar-paksakan oleh pandangan alam barat.

Konsep legal person ialah sebuah konsep mengenai entiti perniagaan iaitu korporat yang dicipta melalui legitimasi Akta Sharikat dan Perlembagaan dengan tujuan menjalankan kegiatan perniagaan. Antara ciri utama legal person ini ialah konsep hutang yang terhad (limited liability), boleh menyaman dan disaman kerana perbalahan perniagaan dan boleh membeli, memiliki dan menjual aset perniagaaan seperti bangunan, tanah dan lain-lain.

Konsep legal person mempunyai hak dan tanggungjawab yang terhad kepada aspek perniagaan sahaja, walaupun di Amerika Sharikat ada usaha untuk memberi hak mengundi kepada entiti korporat sebagai legal person—seperti hak insan biasa—dalam persaingan pemilihan Presiden Amerika Sharikat. Ia juga dikenali sebagai artificial person (orang palsu) kerana kewujudannya dan sifatnya yang direka dan dicipta semata-mata untuk mengambil alih peranan insan yang terhad dalam aspek perniagaan. Melalui entiti legal person atau artifical person, sesebuah korporat atau sharikat perniagaan boleh meneroka peluang perniagaan yang tidak tercapai oleh kemampuan insan dengan pelan risiko yang terancang dan manipulasi sumber wang dan tenaga ke tahap maksimum.

Pengkorporatan universiti yang berlaku hari ini adalah hakikat pengambilalihan peranan universiti oleh ‘entiti legal person’ dalam diri jasadi universiti, dengan penindasan fakulti haiwani ke atas fakulti ruhani. Aspek haiwani yang dimaksudkan ialah nafsu korporat yang serakah mengejar nama prestij, keuntungan material dan keterikatan melulu peraturan yang palsu. Pengkorporatan universiti telah mempercepatkan lagi proses sekularisasi universiti menjadi sebuah ‘negara’ seperti yang difahami dalam pandangan alam Barat yang rakus fakulti haiwaninya, akan tetapi kering dan tertindas, malah mungkin tercabut terus fakulti ruhaninya.

Pengembalian ruh universiti adalah pengembalian konsep universiti sebagai sebuah cerminan insan yang mempunyai fakulti ruhani dan haiwani. Prof. al-Attas adalah sarjana kontemporari yang pertama membangkitkan kesedaran bahawa perbincangan mengenai pendidikan tidak akan bermakna tanpa dikaitkan dengan konsep insan dan kepentingan ilmu bersamanya ketika dalam Persidangan Antarabangsa Pertama Dalam Pendidikan Muslim pada tahun 1977 di Mekah. Apatah lagi pendidikan di peringkat tinggi, iaitu universiti dilihatkan sebagai institusi paling strategik untuk mendidik manusia.

Ini kerana premis kekeliruan dan salah tanggap ilmu-ilmu kontemporari seperti yang diperhatikan tajam oleh Profesor al-Attas bermula di peringkat pendidikan tinggi adalah akibat-kerana penyeludupan ilmu dari Barat yang menganggap ilmu tidak neutral ke dalam pemikiran masharakat kita. Kemudian mereka ini yang menyerap ilmu-ilmu yang lahir dari rahim pandangan alam Barat seperti sosiologi, psikologi, ekonomi, antropologi dan sains tanpa kritis dan kemudiannya menyalurkan dan memuntahkan kepada pelajar-pelajarnya dan para pelajar ini yang menjadi ejen pelaksana kepada ilmu yang keliru berpunca daripada pandangan alam Barat itu.

Apabila bercakap mengenai ruh universiti, aspek perbincangan mestilah bertujuan ke arah mengangkat aspek dan fakulti ruhani lebih tinggi daripada aspek dan fakulti haiwani dengan berakar kepada ajaran-ajaran dalam agama, kerana aspek ruhani adalah fakulti yang tunjang dan penting dalam agama dan hanya dalam agama yang bersandarkan wahyu sahaja aspek ruhani diberi penekanan kerana agama wahyu mempunyai konsepsi kewujudan harmoni aspek ruhani dan jasadi, konsepsi kebertanggungjawaban insan atas perbuatannya sendiri dan konsepsi penganugerahan dan pembalasan mutlak oleh si Pencipta di hari kiamat akibat kerana perbuatan insan itu. Tidak menghairankan apabila isu kehilangan ruh universiti yang dibangkitkan adalah pasti kerana universiti yang menjulang falsafah materialisme dan sekularisme sudah pasti akan meminggirkan aspek ruhani.

Konsep insan berkait intim dengan konsep ilmu, kerana ilmu itu adalah sebahagian daripada kualiti fakulti keruhanian insan. Universiti yang mempunyai ruh adalah universiti yang mengangkat ilmu berserta konsep ilmu yang berkaitan seperti ilmuwan yang wibawa, penuntut ilmu, karya-karya ilmiah, perpustakaan, dan juga budaya ilmu di kalangan masharakat universiti.

Konsep ‘Budaya Ilmu’ adalah ilham dan gagasan Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud. Beliau merupakan arkitek budaya ilmu yang meletakgariskan dan memandu bagaimana sesuatu budaya ilmu itu perlu diwujudkan, tidak semestinya di universiti akan tetapi di kalangan masharakat tidak kira pangkat, jantina, kaum dan agama, meletakkan ilmu di tempat paling tinggi dalam neraca membuat keputusan. Setelah hampir 24 tahun karya penting beliau Budaya Ilmu: Satu Penjelasan (Cetakan Pertama 1991; dicetak tiga kali oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan kemudian dua kali oleh Pustaka Nasional) dihasilkan, perlu dinilai sejauh mana konsep pembudayaan ilmu di kalangan masharakat difahami dan diamallaksanakan secara keseluruhan.

Berdasarkan pemerhatian rambang, konsep budaya ilmu ada kecenderungan disalah tafsir, atas nama ilmu, buku, idea dan tokoh, maka segala kegiatan yang mengandungi empat perkara ini cepat dianggap sebagai pembudayaan ilmu, walaupun pembudayaan tersebut dizahirkan di tepi jalan atau atas bumbung. Ada apa yang dikatakan sebagai ilmu, buku, idea mahupun tokoh yang pada hakikinya tidak menepati konsep ilmu yang sebenar, bahkan pula ada yang meruntuhkan konsep budaya ilmu yang sebenar tanpa disedari, kerana keempat-empat unsur ini perlu dilihat dari mana datang pandangan alamnya.

PPPM (PT) yang dilancarkan adalah bertujuan mencapai 10 lonjakan yang dihasratkan dalam tempoh 10 tahun (2015-2015). Apa yang disebutkan di atas ialah tapak asas dan konsepsi hakiki berkenaan mengembalikan ruh universiti melalui pengembalian unsur-unsur ruhani dalam universiti seperti ilmu dan budaya ilmu lebih tinggi ke atas unsur haiwani, dengan tidak sama sekali menafikan dan menindas unsur haiwani, yang boleh difahami sebagai aspek kewangan, pentabiran, undang-undang, sukan dan hiburan. Jika tapak dan tujuannya kuat dan jelas, dengan izin Allah jua PPPM (PT) dapat mencapai matlamatnya.

  1. Salam kepada semua pencinta ilmu dan pejuang Islam,

    Al-Quran mnjelaskan perkara yg paling penting dlm sesuatu pmbangunan ialah pembinaan prasarana, maka di dalam sistem pendidikan yg paling penting ialah pembinaan prasarana ilmu iaitu utk mnilai dan menapis ilmu2 Barat dan mnjana ilmu2 terkini dan termaju.

    Saya sdh lebih 8 tahun mgkaji Al-Quran sepenuh masa dan saya dapati kitab Al-Quran adalah merupakan prasarana ilmu bukan saja utk umat Islam malah utk seluruh manusia. Kehebatan metod Al-Quran bil-Quran adalah kunci2 utama “mafatehul ghaib” (Quran 6:59), iaitu “rules based” (Quran 11:1), dan metafor “amthal (Q39:27-29) iaitu dlm struktur yg paling sempurna (3:7, 2:26, 11:1, 39:23).

    Sekiranya para ulama Islam yakin dan percaya bahwa kitab Al-Quran itu sgt bermukjizat dan beriman bahwa iaitu menjelaskan segala perkara dgn mendalam lagi terperinci, maka marilah kita semua sama2 bincang, bahas, dan tambah-baik kpd metod Al-Quran bil-Quran ini agar ianya menepati kahendaki Al-Quran dan seterusnya dpt mengeluarkn umat islam dari kgelapan kpd cahaya, dan kembali mnjadi umat terbaik “khaira ummatin” (Q3:110).

    Saya bersedia utk mnyediakn satu kertas-kerja tentang metod QbQ ini dan bersedia utk mmbentangkan kpd para ulama dan ilmuan di HAKIM dan juga CASIS. Marilah kita sama2 bincang dan mncari jln terbaik utk mninggikan smula syiar Islam.

    Barakallahu fikom.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes:

<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>